Foto : Azmah Haji Ahad, Arifah Mohammad Aliwaridi
ANGGEREK DESA, Isnin, 26 Januari. - Sebagai platform kebangsaan bagi memperkasa kecemerlangan belia dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Pertandingan Kebangsaan WorldSkills Brunei 2026 (WSBNC2026) akan berlangsung bermula 27 hingga 29 Januari 2026 di BRIDEX, Jerudong.
Sehubungan itu, hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya merasmikan pertandingan tersebut ialah Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Kementerian Pendidikan, Dr. Haji Azman bin Ahmad berlangsung di Dewan Grand Cesar, Mulia Hotel, hari ini.
Pengarah Pendidikan Teknik / Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), Dr. Haji Mohd. Zamri bin Haji Sabli dalam ucapannya antara lain menjelaskan, Negara Brunei Darussalam (NBD) melalui IBTE telah menjadi Ahli WorldSkills Organisation sejak tahun 2004.
Melalui WorldSkills Brunei katanya, usaha dan komitmen negara untuk memperkukuh pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional terus diperkasakan agar selaras dengan piawaian antarabangsa, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada anak-anak muda Brunei.
“Penyertaan aktif NBD dalam Pertandingan WorldSkills di peringkat serantau dan antarabangsa, serta penganjuran pertandingan kebangsaan secara berterusan, mencerminkan tekad kita untuk mencungkil bakat tempatan dan mempersiapkan belia negara agar lebih yakin melangkah ke pentas serantau dan global sebagai wakil masa depan negara," ujarnya.
Menurutnya lagi, pertandingan ini menghimpunkan peserta daripada institusi awam dan swasta untuk mencabar diri serta menguji keupayaan dalam pelbagai bidang kemahiran.
Beliau menambah, Pertandingan Kebangsaan BruneiSkills ini juga berperanan sebagai instrumen strategik dalam perancangan tenaga manusia negara dan melaluinya, kita dapat mengenal pasti bakat berpotensi, menanda aras standard kemahiran, serta memastikan keselarasan yang kukuh antara institusi latihan dan keperluan sebenar industri.
Jelasnya lagi, pertandingan ini turut menjadi landasan ke peringkat serantau dan antarabangsa di mana peserta cemerlang akan dibangunkan untuk mewakili NBD ke pertandingan kemahiran di peringkat serantau dan antarabangsa.
Penyertaan di peringkat ini bukan sahaja mengharumkan nama negara tambahnya, malah memastikan standard latihan negara kekal setara dengan amalan terbaik global.
WSBNC2026 merupakan pertandingan dwitahunan yang dianjurkan oleh IBTE dengan sokongan Kementerian Pendidikan, bertujuan bagi menggalakkan pembangunan kemahiran vokasional bertaraf tinggi sejajar dengan piawaian antarabangsa.
Sebagai pertandingan kemahiran kebangsaan rasmi NBD, WorldSkills Brunei merupakan sebahagian daripada pergerakan global WorldSkills yang memperjuangkan kecemerlangan kemahiran dan kesiapsiagaan tenaga kerja di peringkat antarabangsa.
Inisiatif ini memainkan peranan penting dalam memperkasa belia, menyokong Wawasan Brunei 2035 serta mempersiapkan peserta bagi mewakili NBD di Pertandingan WorldSkills peringkat ASEAN dan antarabangsa.
Sebanyak 16 bidang kemahiran akan dipertandingkan, iaitu: Information Network Cabling, Mechanical Engineering CAD, IT Software Solutions for Business, Web Technologies, Carpentry, Restaurant Service, IT Network Systems Administration, Graphic Design Technology, Cyber Security, Video Production (Junior Skills), Aircraft Maintenance, Cooking, Bakery, Welding, Automobile Technology, serta Refrigeration and Air Conditioning. Manakala bidang kemahiran Bricklaying akan dipamerkan sebagai Kemahiran Demonstrasi.
Institusi-institusi yang mengambil bahagian termasuk maktab dan sekolah-sekolah menengah di bawah Jabatan Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan, iaitu Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan, Sekolah Menengah Awang Semaun, Sekolah Menengah Katok, Sekolah Menengah Rimba dan Sekolah Menengah Sayyidina Hasan; sekolah-sekolah di bawah IBTE iaitu Sekolah Penerbangan, Sekolah Perkhidmatan Teknologi Bangunan, Sekolah Tenaga dan Kejuruteraan (Pusat dan Satelit), Sekolah Hospitaliti dan Pelancongan, dan Sekolah Teknologi Maklumat dan Komunikasi; serta institusi-institusi pengajian tinggi dan institusi latihan seperti Laksamana College of Business (LCB), Politeknik Brunei (PB) dan Royal Brunei Culinary (RBC).